CYBERJAYA, 30 APRIL 2020 – Tarikh akhir untuk memberikan maklum balas kepada Perundingan Awam untuk Kod Amalan Am Pengguna untuk Industri Komunikasi dan Multimedia Malaysia / General Consumer Code of Practice for the Communications and Multimedia Industry Malaysia (GCC) telah dilanjutkan sehingga 16 Julai 2020 atas sebab situasi COVID-19 yang sedang melanda negara.

Tempoh proses perundingan awam ini asalnya ditetapkan dari 3 Mac 2020 sehingga 16 April 2020 (45 hari). Namun, disebabkan situasi semasa COVID-19 dan penguatkuasaan berterusan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 12 Mei 2020, tarikh akhir untuk memberikan maklum balas turut dilanjutkan sehingga 16 Julai 2020 untuk memberikan para pengguna masa yang mencukupi.

Orang awam digalakkan untuk memberikan maklum balas kepada perundingan awam ini untuk memastikan GCC versi 2020 mengambil kira keperluan dan melindungi hak pengguna komunikasi dan multimedia Malaysia. Maklumat lanjut mengenai langkah pemberian maklum balas boleh didapati di laman sesawang http://www.consumerinfo.my.

Walaupun berhadapan dengan situasi COVID-19, CFM akan terus berusaha untuk menjadi sebuah forum yang proaktif melalui komunikasi berterusan bersama pengguna dan pihak industri menerusi pelbagai pendekatan dengan memanfaatkan teknologi atas talian.

 #HakAndaKeutamaanKami #JadilahPenggunaYangBijak #KitaJagaKita #DudukDirumah

_______________________________TAMAT______________________________

Mengenai CFM Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) ditubuhkan pada bulan Februari 2001 dan telah ditetapkan sebagai salah satu forum industri oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), selaras dengan peruntukan Seksyen 189 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM). Ia menjadi salah satu platform bagi industri dan pengguna/orang awam bagi menyumbang ke arah penambahbaikan perkhidmatan dan pembangunan polisi yang lebih baik dan konstruktif. Peranan CFM bersama dengan pihak-pihak lain yang terlibat adalah untuk menggalakkan pembangunan industri komunikasi dan multimedia di Malaysia dan melindungi kepentingan pengguna dengan menggalakkan etika perkhidmatan berkualiti tinggi melalui kawal selia kendiri. CFM juga menjadi pemudah cara kepada pengguna untuk melaporkan aduan tentang perkhidmatan komunikasi dan multimedia. Jika terdapat aduan mengenai perkhidmatan komunikasi dan multimedia yang tidak diselesaikan, pengguna boleh mengemukakan aduan melalui saluran berikut:
PORTAL ADUAN https://aduan.skmm.gov.my(sistem bersepadu bersama MCMC)
APLIKASI MUDAH ALIH Muat turun aplikasi “MY MOBILE RIGHTS” diGoogle Play Store dan App Store
PEJABAT CFMSuruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia (MCMC), Off Persiaran Multimedia Jalan Impact, 63000 Cyberjaya, Selangor
Untuk dapatkan lebih banyak maklumat dan tip berguna, sila layari portal CFM:
PORTAL CFM www.consumerinfo.mywww.cfm.my