Pada ketika anak muda seusianya baru mencari-cari hala tuju hidup, mengenal dunia keseronokan dan bertungkus-lumus membina kekukuhan kewangan, Dato’ Aliff Syukri Kamarzaman sudah berada jauh di hadapan. Di dada jejaka berusia 31 tahun dan anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang ini, ada tekad yang bulat, iltizam setinggi gunung, semangat nan membara, keberanian yang melangkaui segala-galanya dan cita-cita yang luar biasa untuk menggenggam kejayaan dalam perniagaan! Meniti kisah perjalanan Pengarah Urusan D’Herbs Holding (M) Sdn. Bhd., sememangnya bagaikan mendengar sebuah storytelling, iaitu kisah anak kecil berusia lima hingga 12 tahun yang dicaci dan dipulaukan oleh kanak-kanak seusianya kerana dirinya dianggap bodoh, disebabkan beliau berada dalam kelas pemulihan bermula dari darjah satu hingga darjah enam. Kisah sedih Dato’ Aliff ini berlanjutan sehingga beliau berada di tingkatan satu hingga lima kerana beliau gagal dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Pada ketika itu, semua orang menganggap tiada lagi harapan untuk beliau berjaya dalam kehidupan. Namun, bagi anak muda ini, dia percaya itu bukanlah penamat dan titik noktah untuk masa depannya. Kerana minat berniaga, dia menyimpan angan-angan untuk menjalankan perniagaan yang besar. Dengan modal RM450.00 beliau membuka gerai menjual kosmetik di Pasar Tani Seksyen 13, Kelana Jaya dan Sri Andalas pada setiap hari Sabtu dan Ahad. Tanpa diduga, sambutan yang diterimanya cukup luar biasa. Keuntungan yang diperoleh mencecah ribuan ringgit dalam tempoh sebulan. Karakternya yang bermulut becok dan bersuara “kepit” berjaya menarik perhatian pelanggan. Minat beliau dalam dunia kosmetik membawanya untuk melebarkan perniagaannya dan beliau cuba-cuba untuk membuat permohonan pinjaman di bank, namun ditolak. Berkat bantuan kawan kawannya yang membantu memberikan keyakinan kepada pihak bank, akhirnya beliau berjaya mendapatkan modal awal RM100,000. Wang itulah yang berjaya mengubah perjalanan hidup Dato’ Aliff Syukri.

Pertemuan kumpulan editorial SHOUT dengan pemenang Anugerah Usahawan Ikon 2016 ini di Wisma D’Herbs, Kota Damansara adalah bertujuan untuk menyingkap rahsia kejayaan beliau. Ikuti temu bual eksklusif bersama usahawan, jutawan dan selebriti Terlajak Laris!

  • Kekuatan empayar Dato’ bukan hanya terletak pada produk tetapi pada personaliti Dato’? Benar. Ada yang memanggil saya sebagai lelaki bersuara kepit, kecoh, makcik, orang kampung, dan pandai berlakon untuk menarik perhatian netizen. Tidak mengapa, saya tetap ok. Namun, semua pihak perlu faham bahawa saya seorang usahawan dan jurucakap merangkap model kepada produk yang saya hasilkan. Saya menghabiskan sekurang-kurangnya RM2 juta ringgit sebulan untuk tujuan pengiklanan dan muncul di kaca TV, radio, surat khabar dan majalah. Saya tidak melakukan perkara tersebut untuk suka-suka tetapi demi perniagaan. Bayangkan untuk saya muncul di kaca TV dalam tempoh dua minit, saya perlu membayar RM60,000. Saya perlu memastikan produk saya dikenali dan diyakini pengguna. Apabila orang mengenali saya, secara tidak langsung pengguna mengenali rangkaian produk D’Herbs. Personaliti saya adalah produk saya dan apabila saya mempunyai 1.2 juta orang pengikut di Facebook dan Instagram, produk saya akan lebih dekat dengan pengguna dan pelanggan. Saya telah melalui banyak “pintu”, jatuh bangun dan linangan air mata untuk membina empayar D’Herbs, maka saya mahu memastikan D’Herbs terus berkembang dan menguasai pasaran sebagai juara kosmetik di Malaysia dan Asia.
  • Usahawan dalam talian tumbuh bagai cendawan, apa komen Dato’? Tujuh tahun yang lalu, ketika saya memulakan perniagaan, tidak ramai yang berniaga secara dalam talian. Begitu juga dengan saya. Namun, kira-kira tiga tahun yang lalu, muncul jenama Bella Ammara, Vivy Yusof dan Nealofar Hijab yang menjadi kegilaan ramai. Dalam sekelip mata, usahawan muda ini bergelar jutawan dan dikenali ramai. Kejayaan anak muda inilah yang mencetuskan lebih ramai usahawan dalam talian di negara ini, maka pada hari ini ramai yang mahu jadi seperti mereka. Ini perkembangan yang sihat bagi negara yang mengakses internet antara yang tertinggi di dunia.
  • Dato’ percaya kepada perniagaan secara dalam talian? Ya. Sudah tentu. Pengaruh pemasaran perniagaan dalam talian berada pada kedudukan kedua selepas pemasaran di kaca TV. Tabiat membeli-belah rakyat Malaysia sudah berubah kepada dalam talian. Pelbagai jenis perniagaan dalam talian muncul. Usahawan yang bijak perlu mengikut peredaran masa, oleh itu sejak tiga tahun yang lalu, D’Herbs turut menguasai jualan secara dalam talian dan hasilnya cukup luar biasa.
  • Di mana letaknya kekuatan pemasaran dalam talian? Sudah tentu kepada respons, reka letak, paparan produk, ayat, dan interaksi kepada pelanggan. Perniagaan dalam talian berjalan 24 jam tanpa henti. Maka, pelanggan sudah tentu mengharapkan respon yang cepat terhadap sebarang pertanyaan. Terus terang saya katakan bahawa, saya memiliki kumpulan yang menguruskan Facebook dan Instagram saya. Mereka perlu mengemas kini jenis produk, program dan aktiviti yang bukan sahaja melibatkan produk D’Herbs tetapi juga yang melibatkan saya. Kumpulan ini merupakan tulang belakang yang kuat untuk pemasaran dalam talian saya.
  • D’Herbs untuk 10 tahun akan datang? D’Herbs berazam untuk menjadi jenama kosmetik yang terkenal bukan sahaja di Malaysia, tetapi di seluruh dunia. Pada hari ini, saya memiliki 45 buah cawangan kosmetik dan 30,000 orang agen di seluruh Malaysia. Wisma yang dibina di Kota Damansara, saya beli dengan harga RM30 juta. Saya juga memiliki bangunan di Thailand, Cambodia dan Indonesia. Produk D’Herbs juga sudah menembusi pasaran Singapura, Brunei, Thailand dan Indonesia. Saya juga mempunyai dua buah spa (Selangor dan Negeri Sembilan), juga Aliff Syukri Properties Sdn. Bhd. yang memiliki lebih 200 hartanah di seluruh Malaysia, dan kilang sendiri yang dikenali sebagai Aliff Herbs Manufacturing Sdn. Bhd. Saya percaya tiada yang mustahil. Dahulu saya mahu produk saya menjadi “jaguh kampung” di Malaysia tetapi pada hari ini saya mahu negara Asia kagum dengan produk saya kerana kekuatan perniagaan secara dalam talian membawa kami untuk mencapai misi tersebut.
  • Dato’ terkenal dengan gimik dan ramai yang ingin mengikuti jejak Dato’. Komen Dato’? Dalam perniagaan terdapat beberapa fasa. Saya melakukan gimik pada ketika saya berusia 23 tahun dan saya menganggap usia itu bersesuaian dengan gimik yang saya lakukan walaupun ada yang menjengkelkan. Gimik yang saya lakukan bukan untuk glamor tetapi untuk menjana pendapatan. Glamor tapi tiada duit, “you have nothing”. Saya suka membuat sesuatu kerja dengan pantas tetapi berhasil. Pada awal kemunculan saya di kaca TV, terlalu ramai yang mengecam saya seolah-olah ada 1000 orang “askar” yang mahu menjatuhkan saya. Oleh itu saya perlu memastikan saya berada di atas “bukit” bagi memastikan kecaman itu tidak menjatuhkan saya.
  • Tiga perkataan yang menggambarkan Dato’? Orang kampung, cerewet dan kedekut. Saya tidak pernah lupa asal-usul saya sebagai anak kampung. Saya perlu menjadi cerewet untuk pastikan produk yang saya hasilkan berkualiti dan selamat. Saya hanya membeli barangan berjenama dan merasa menaiki penerbangan kelas perniagaan selepas wang simpanan saya mencecah RM30 juta.
  • Berapa banyak masa yang Dato’ peruntukkan untuk melayari internet pada setiap hari? Setiap lima minit, saya akan mencapai laman Facebook dan Instagram menerusi telefon bimbit saya.
  • Dato’ memiliki 2.3 juta pengikut di Instagram, sejauh mana Dato’ mempercayai mereka? Kejayaan saya pada hari ini kerana mereka mempercayai saya dan produk yang saya hasilkan. Oleh itu, saya juga meletakkan kepercayaan yang penuh kepada mereka. Tanpa mereka saya tidak akan berada di sini. Saya dan rakyat Malaysia bertuah kerana kerajaan membenarkan kita untuk mengakses internet tanpa sebarang sekatan. Kita bebas berniaga di Facebook dan Instagram. Oleh itu, ayuh rakyat Malaysia, ambil peluang keemasan ini dengan sebaik-baiknya!

Sumber : SHOUT H1 2016, consumerinfo.my #interaksi #CFMmalaysia  #CFMshout