CYBERJAYA, 12 FEBRUARI 2019 – Animasi bukan sahaja menampilkan watak dan gerakan yang menghiburkan malah menjadi antara elemen penting pada dunia hari ini untuk menarik penonton dan memudahkan penyampaian mesej. Menyedari hal itu, Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) menyediakan ruang untuk mencabar penggiat dunia animasi yang ingin menyerlahkan bakat untuk menyertai pertandingan “CFM ANIMATCH 2019” yang menawarkan hadiah wang tunai sebanyak RM8,500 kepada bakal juara.
Bakal naib juara dan tempat ketiga akan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM5,000 dan RM3,000. Manakala bagi 7 finalis yang lain bakal menerima hadiah wang tunai sebanyak RM500.
Pertandingan ini terbuka kepada warganegara Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas, sama ada amatur atau profesional dalam bidang animasi. Penyertaan boleh dihantar secara individu atau berkumpulan (maksimum 3 orang peserta dalam kumpulan). Peserta boleh menghantar penyertaan secara dalam talian di portal CFM. Untuk pendaftaran dan maklumat lanjut, peserta boleh ke pautan berikut: http://www.consumerinfo.my/cfm-animatch-2019-calling-all-malaysias-animators/
Peserta akan diberikan topik-topik mengenai isu-isu yang sering dihadapi oleh pengguna dengan penyedia perkhidmatan iaitu tentang perkhidmatan selular, jalur lebar, dan kandungan haram.
Terdapat tiga (3) peringkat yang perlu dilalui peserta sebelum layak mara ke peringkat akhir.
CFM akan memilih 10 penyertaan sebagai finalis yang akan berentap di peringkat akhir. 10 finalis diberi peluang untuk menyertai ‘boot camp animasi’ di Cyberjaya selama dua (2) hari yang dijadualkan pada 30 dan 31 Mac 2019. Peserta finalis berpeluang untuk mendapat tunjuk ajar daripada ahli pakar animasi seperti Hassan Abd Muthalib iaitu Bapa Animasi Negara, Mike Ismail – Pengarah Animasi 2D dan Ayie Ibrahim, Pengarah Animasi Creatvtoon Studio.
Pemenang bagi CFM ANIMATCH 2019 akan diumumkan pada 31 Mac 2019, selepas semua finalis membentangkan video animasi rekaan mereka pada hari terakhir boot camp animasi.
Pertandingan ini diadakan bukan sahaja untuk mencari bakat-bakat kreatif dalam bidang animasi malah menjadikan animasi sebagai alat penyampai bagi mesej-mesej CFM dalam isu-isu yang dihadapi pengguna berkaitan masalah telekomunikasi dan multimedia agar pengguna lebih memahami keadaan sebenar melalui rekaan animasi serta dapat menggalakkan amalan kawal selia kendiri dalam kalangan pengguna.
Hasil rekaan video animasi para pemenang akan ditayangkan kepada umum dan akan menjadi video pesanan khidmat masyarakat CFM yang dapat memberi manfaat dan mendidik pengguna di Malaysia.
Untuk maklumat terkini mengenai pertandingan ini, sila ikuti laman Facebook CFM di https://www.facebook.com/consumer.forum.malaysia/
#HakAndaKeutamaanKami
#JadilahPenggunaYangBijak